PENULISAN
REFLEKTIF
NADZIRAH
BINTI OSMAN (951211-08-6320)
Bersyukur
ke hadrat Ilahi, akhirnya kerja kursus bagi mata pelajaran Kemahiran Belajar dapat
juga disiapkan. Kerja kursus yang diberikan adalah selama satu bulan dan
dilaksanakan secara individu dan berkumpulan. Pelbagai perkara harus dilakukan
bagi menyiapkan kerja kursus ini dengan sebaik mungkin. Selain itu, penulis
menghadapi pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang proses melaksanakan kerja
kursus ini.
Pada
peringkat permulaan, penulis menerima kerja kursus ini dengan hati yang terbuka
memandangkan ini adalah kali pertama penulis melaksanakan kerja kursus di
Institut Pendidikan Guru. Kerja kursus yang diberikan bukanlah sebagai bebanan
tetapi memberi banyak manfaat dan bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan
serta memberi pendedahan tentang penulisan akademik.
Penulis
menjalani proses mencari, mengumpul, menganalisis, mengolah dan memahami
maklumat semasa melaksanakan tugasan-tugasan yang terdapat di dalam kerja
kursus ini. Proses-proses yang dijalankan adalah pengalaman yang menarik bagi
penulis kerana proses tersebut sememangnya perlu dilaksanakan oleh seorang
siswi bagi menghasilkan kerja kursus yang baik. Proses tersebut juga membantu
penulis untuk berusaha dengan lebih gigih dan dapat menambah pengetahuan.
Sepanjang
menjalankan kerja kursus ini, penulis juga mendapat bimbingan yang mantap
daripada pensyarah. Pensyarah menjelaskan setiap tugasan yang perlu
dilaksanakan dengan terperinci. Pensyarah juga sentiasa mengambil berat tentang
kerja kursus dari semasa ke semasa sebelum kerja kursus ini diserahkan
sepenuhnya. Kesannya, hubungan antara pensyarah dan pelajar bertambah akrab.
Perkara ini memudahkan penulis untuk bertanyakan sesuatu dan meminta pandangan
daripada pensyarah.
Seterusnya, hubungan antara penulis
dan rakan sekuliah juga bertambah erat. Penulis juga dapat mengenali rakan
sekuliah dengan lebih dekat. Hubungan yang erat ini terjalin kerana penulis dan
rakan-rakan bekerjasama dalam usaha menyiapkan kerja kursus ini. Pandangan dan
idea juga turut disumbangkan oleh rakan-rakan di samping dapat berkongsi ilmu
pengetahuan. Penulis berasa bersyukur kerana rakan sekuliah mudah untuk
memberikan kerjasama dan bantuan.
Penulis juga menghadapi pengalaman
yang mencabar untuk menyiapkan kerja kursus ini. Penulis mengahadapi masalah
dari segi pengurusan masa. Penulis hanya mempunyai waktu lapang pada waktu
malam dan hujung minggu. Waktu siang penulis pula dipenuhi dengan sesi kuliah.
Namun begitu, masa lapang yang ada tidak mencukupi kerana dalam masa yang sama,
penulis juga perlu menyiapkan kerja kursus bagi subjek-subjek yang lain. Oleh
itu, penulis mengambil langkah dengan menyediakan jadual. Penulis membahagikan
masa untuk setiap kerja kursus yang perlu dilaksanakan. Penulis dapat belajar
menguruskan masa dengan baik kerana pengurusan masa dalam profesion perguruan
adalah sangat penting. Penulis mengambil peluang ini untuk belajar menguruskan
masa dengan baik.
Penulis juga memperoleh pengetahuan
baharu sepanjang menjalankan kerja kursus ini. Penulis dapat meningkatkan
kemahiran menggunakan komputer. Kesemua kerja kursus ini menggunakan aplikasi
komputer. Perkara yang paling menarik tentang kerja kursus bagi mata pelajaran
Kemahiran Belajar ialah para siswi perlu membina sebuah blog dan dilaksanakan
secara individu. Penulis dapat berkongsi pelbagai ilmu pengetahuan dan perkara
yang menarik di dalam blog tersebut. Ini merupakan salah satu tugasan yang
dapat mengisi masa lapang dan dapat diteruskan dalam jangka masa yang panjang.
Hasilnya, penulis sudah mempunyai sebuah blog dan penulis dapat mencoretkan
sesuatu di dalam blog tersebut.
Tugasan yang perlu dilaksanakan secara
berkumpulan ialah melakukan pembentangan bagi sesebuah tajuk. Kumpulan penulis
terdiri daripada tiga orang ahli. Kumpulan penulis membentangkan tajuk Sistem
Pentaksiran. Penulis berasa sangat gembira kerana memperoleh ahli kumpulan yang
boleh bekerjasama iaitu Nazihah Syafiqah binti Jainal dan Sarah Syahirah binti
Zameri. Meskipun pada mulanya kami agak kekok kerana baru dalam proses
perkenalan namun akhirnya, hubungan kami bertambah erat. Pembentangan yang
dilaksanakan memberikan pengetahuan baru kepada kami di samping mengasah
keberanian untuk bercakap di hadapan.
Akhir kata, penulis memperoleh
pengalaman baru dan pelbagai cabaran sebagai seorang siswi di Institut
Pendidikan Guru. Segala pengalaman dan cabaran yang dihadapi menjadikan penulis
seorang yang lebih sabar, rajin dan berusaha gigih tanpa mengenal erti putus
asa. Nilai-nilai murni yang disemai dalam diri penulis semasa melaksanakan
kerja kursus ini dapat mendidik dan membentuk peribadi penulis untuk menjadi
seorang guru yang cemerlang.
No comments:
Post a Comment